Sabtu, 1 Disember 2012

24 Oktober yang manis.. ^_^



Pagi itu (23 Oktober) saya tidak ke tempat kerja. Berasa tidak sedap badan, saya mengajak suami ke hospital. Sementelah saya juga tidak hadir check up sehari sebelumnya. Malangnya, hasrat itu terpaksa dibatalkan ekoran suami tidak mendapat kebenaran daripada majikannya :(

Maka sementara menunggu suami pulang dari kerja tengah hari itu saya membuat urusan diri dan rumah seperti biasa. Tengah hari itu ada timbul sedikit rasa sakit tetapi saya abaikan sahaja kerana memang sepanjang mengandung, anak sulung saya menyusu badan. Lagipun sejak seminggu sebelum itu doktor mengesahkan sudah ada bukaan sebanyak 2cm tetapi tiada tanda untuk bersalin maka saya ke tempat kerja seperti biasa.
Tambahan pula saya anggap sakit itu terjadi kerana kontraksi yang timbul semasa menyusukan anak.

Kira-kira  jam 3 petang saya sampai di hospital. Giliran saya tiba hampir jam 4 petang. Doktor bertanya khabar dan keadaan saya. Dan beliau bertanya “Agak-agak bila awak bersalin?”. Saya sekadar ketawa. Tanpa diduga, doktor memeriksa laluan dan sudah ada bukaan sebanyak 4cm! Masya Allah saya langsung tidak berasa sakit. Teringat ketika Khaulah dahulu, 4cm ini saya sudah mengerang kesakitan. Tidak tertanggung rasanya :D
Doktor bertanya sama ada saya mahu pulang ke rumah atau terus dimasukkan ke wad? Saya memilih untuk tinggal di wad. Bimbang pula sekiranya sakit mahu bersalin di rumah tengah malam ini! Nanti mahu ke hospital pula dalam keadaan sakit-sakit seperti itu. Oh, tidak. Saya tidak mahu ambil risiko.

Secara tiba-tiba pula Khaulah demam! Panas betul badannya.

Petang itu pertama kali saya ‘berpisah’ dengan Khaulah. Huhuhuhu..sedihnya.. Khaulah dihantar ke rumah pengasuh sementara menunggu saya bersalin. Suami menemani saya di wad kerana selepas subuh esok saya akan ditolak ke bilik bersalin. Dalam hati saya berdoa semoga semua urusan dipermudahkan Allah dan semoga Khaulah cepat sembuh. Tidak dapat digambarkan perasaan ‘berpisah’ dengan Khaulah waktu itu, macam-macam rasa timbul. Kasihan…

Dalam masa yang sama, saya juga berdoa supaya dapat melahirkan keesokan harinya, 24 Oktober kerana esok ialah hari lahir anak saya yang sulung itu juga. Hehe…

Esoknya, selesai solat Subuh, jururawat memantau keadaan saya. Saya diberi sarapan ringkas dan 6.30 pagi dimasukkan ke bilik bersalin. Gementar juga. Saya memikirkan bagaimana agaknya ketika saya nak bersalin, dapatkah saya bersabar, dan…dan.. banyak sangat dan da….

Pukul 7 pagi semua persiapan sudah dilakukan cuma menunggu doktor datang jam 7.30 pagi. Bukaan saya masih 4 cm oleh itu saya di’induce’. Dalam masa yang sama, saya terdengar suara kawan saya di bilik sebelah. Oh, dia pun bersalin hari ini :D Sempat lagi doktor dan jururawat membuat lawak. Kira-kira sejam selepas di’induce’, saya sudah mula berasa sakit. Allah…

Sedar tidak sedar kontraksi semakin kerap dan saya turut mendengar suara kawan saya di sebelah sudah mula meneran. Hehe…. Saya pun sudah hampir nak ‘push’ tapi ditahan oleh jururawat kerana bukaan baru 9 cm.. Allah.. Allah..saya berdoa agar cepat bukaan penuh dan doktor sempat menyambut bayi saya (kerana dia menyambut bayi rakan saya).
Alhamdulillah, dengan hanya sekali ‘push’ bayi saya selamat dilahirkan. Berselang 7 minit sahaja dengan kawan saya di sebelah. Hehehe… dua-dua dapat bayi lelaki ;)


Kepada Allah jua saya panjatkan kesyukuran, lahirnya permata kedua dalam keluarga kami. Semoga Allah juga memberi kebaikan dan keberkatan kepada semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang mendoakan. Barakallahufikum :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan