Ahad, 21 Jun 2015

Imarahkan Ramadanmu

بسم الله الرحمن الرحيم




“Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapa yang membaca satu huruf dari Al Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatkan menjadi 10 kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan الم satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (HR. Tirmidzi dan dishahihkan di dalam kitab Shahih Al Jami’, no. 6469)

Jom kumpul pahala sebanyak-banyaknya dengan membaca dan mempelajari Al-Quran!

Ahad, 14 Jun 2015

Indonesia Motessori Challenge IMC2

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru-baru ini mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Instagram @indonesiamontessori dalam cabaran Indonesia Montessori Challenge IMC2. Setiap hari ada tema khususnya dan dibuat bersama anak. Kemudian gambar atau videonya dikongsi di laman Instagram.

Untuk hari pertama, ianya bertemakan hijau. Maka, aktiviti hari ini Khaulah dan Abdullah Naufal terlibat sekali. Mengenalkan nama-nama pokok dan mengenal pasti jenis daunnya. Subhanallah siapa boleh melawan kuasa Allah? Pohon yang tumbuh di atas tanah yang sama, disiram dengan air yang sama tetapi tumbuh pelbagai jenis, rasa, ketinggian dan berbeza daun dan manfaat.

Anak-anak teruja dengan ilmu baru yang diperolehi hari ini. Moga ada manfaatnya. Insya Allah :)

Daun ditampal pada buku untuk dijadikan buku skrap

Kelas akhir sebelum Ramadan

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini diadakan jamuan makan untuk anak-anak kelas mengaji al-Quran kerana kelas akan berehat seketika sepanjang bulan ramadan dan awal Syawal. Namun kelas mengaji akan diadakan sekali seminggu iaitu pada hari Ahad pagi semasa bulan Ramadan nanti :)

Barakallahufikum.






Jumaat, 12 Jun 2015

Aktiviti bercerita : Lili dan Zuzu

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuaca tidak mengizinkan anak-anak bermain di luar rumah. Maka selepas beberapa jam, mereka sudah mula membuat perangai. Berlakon, menyanyi, berzikir dengan suara yang kuat, melompat, menulis, melukis sehingga akhirnya melompat di atas katil sehingga mengejutkan bayi. OOOOhhhh... BAIK!

Itu tandanya umminya tidak memberi perhatian kepada mereka. Hee. Memang pun. saya sibuk dengan si kecil.

Untuk menyelamatkan keadaan, mereka diminta memilih buku untuk dibaca dan saya berjanji akan buat aktiviti selepas itu.

Inilah buku yang dipilih : Lili dan Zuzu hasil karya Fida Rosdi. Sebuah buku dalam siri 100 buah buku bergambar Karangkraf.




Buku ini mengisahkan Lili yang akan masuk pertandingan bercerita tetapi tidak tauh apa cerita yang akan disampaikan. Dia teringat akan Zuzu, boneka kainnya. Zuzu dicari dan dibawa tidur. Pada suatu malam, Lili bermimpi dan.................................................... akhirnya Lili ada idea untuk disampaikan ketika pertandingan. Apa yang berlaku? Nanti dapatkan buku ini ya! :)


Seperti yang dijanjikan, saya bercadang membuat brown bag puppet bentuk Kucing. Disebabkan ada kaitan dengan Zuzu - kucing yang berboneka kain  :) Saya ambil templat dari laman sesawang DLTK.


Kakak dan abang sama-sama buat. Adik kecil pun tak tentu arah mahu "tolong" buat :D

Hampir siap.



Baca cerita sudah 10 minit. Buat aktiviti makan setengah jam. Agak lama. Tetapi alhamdulillah mereka dapat duduk diam dan fokus. Tapi tak sempat siap sebab sudah hampir masuk waktu Asar. Mereka sudah berlari dapatkan Abi yang mahu ke surau untuk solat. Haih..

Barakallahufik :)

Khamis, 11 Jun 2015

Ajar anak menulis / mengarang cerita

Bismillahirrahmanirrahim.

Jam sudah hampir tengah malam. Ketika semua orang sudah tidur, tiba-tiba..

"Ummi, Khaulah nak buat aktiviti."

Ha? Aduh, sabar sahaja dengar. Ingatkan sudah tidur. Mujurlah esok cuti.....Anak oh anak.

Allah beri ilham minta dia bercerita aktivitinya hari ini. "Ha, jom kita buat buku cerita nak?"
"Macam mana nak buat?"
.
.
.

Saya ambil beberapa helai kertas putih dan gunting bentuk kereta. Sambil itu minta dia bercerita aktivitinya sepanjang hari ini. Baik, sekarang kita boleh mulakan ya nak.

Saya beri beberapa panduan dan bertanya soalan tertutup dan terbuka. Anak dapat ilham dan tulis pada kertas. Contohnya :

Hari ini hari apa, kakak? (Soalan tertutup)

Kakak buat apa pagi tadi? (Soalan terbuka)

Alhamdulillah terhasil sebuah buku cerita. Minta maaflah ya, orang baru pandai menulis, memang "cantik" sangat sehingga perlu baca satu-persatu. Hihi.

Gambar pun cetak sahaja. Sebabnya kami tidak jumpa di mana pensel warna. Haih (=,=)' Alhamdulillah ada printer dan pen berwarna. Guna bahan sedia ada sahaja.

Saya kira ini adalah sebuah bentuk jurnal atau diari harian. Dalam kata lain, ia sebagai satu bentuk muhasabah juga. Aktiviti menulis jurnal adalah satu aktiviti yang bagus dari pandangan saya. Kita dapat mengingat kembali apa yang telah berlaku selain menajamkan fikiran dan fokus. Aktiviti ini juga mampu merangsang anak mula menulis secara kreatif. Wallahualam.

****************************

Buku Cerita "Khaulah Suka Belajar"

Kulit buku : Khaulah Suka Belajar

Hari ini hari Rabu. Abi mengajar di Serkam. Khaulah dan adik ikut abi.

Khaulah baca doa keluar rumah dan doa naik kenderaan.

Khaulah baca doa masuk dan keluar masjid

Khaulah baca buku dan mengaji

Khaulah suka pergi belajar

Rabu, 10 Jun 2015

Bengkel Pendidikan Autisme, SEAMEO SEN, Melaka

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah beri peluang mengikuti kursus ini pada 8 - 9 Jun 2015 yang lalu di IPGMM, Melaka.

Walaupun saya mengajar Pendidikan Khas Masalah Pendengaran, namun kursus ini dapat "refresh" ilmu yang pernah saya pelajari hampir 10 tahun lalu. Ya Allah, moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat :)

2 hari juga bertemu rakan lama dan guru-guru yang sangat positif. Ada juga yang suka ambil gambar (baca : selfie). Kih3..macam-macam perangai.

Kursus disampaikan oleh 3 orang penceramah iaitu Dr Hanani, Cik Nadiah dan Cik nurul Hadhinah. Antara pengisian bengkel ialah pengenalan kepada Autisme, cara menangani dan cara pembelajaran kanak-kanak Autisme.

Subhanallah Alhamdulillah ada beberapa kaedah yang saya pernah guna dalam mengajar anak-anak di rumah. Paling ketara ialah "lapbook". Tapi dalam bengkel ini istilah yang diguna ialah Fail Pengajaran Berstruktur.

Seronok apabila aktiviti hands-on dijalankan. Sebab bahan yang dibuat boleh dibawa pulang. Hehe..




s
Semoga jadi ilmu yang bermanfaat. Amin..

Isnin, 8 Jun 2015

Mengajar anak Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.

Baru-baru ini saya membina satu tapak berpoket untuk mengajar anak huruf hijaiyah berbaris atas. Err.. tak tahulah mahu namakannya apa.

Aktiviti : 
Memadankan huruf hijaiyah berbaris atas.


Bahan-bahan :

Kotak terpakai
Kertas warna
Gunting
Gam / selotape
Batang aiskrim


Kaedah :

1. Balut kotak dengan kertas atau pembalut hadiah.
2. Tulis huruf hijaiyah berbaris atas pada kertas.
3. Potongkan kepingan kertas tadi bagi membentuk sampul kecil.
4. Tampal pada kotak.
    (Tinggalkan ruang di sebelah atas supaya boleh masukkan padanan huruf nanti)
5. Untuk padanan huruf :

a. Tulis huruf yang sama pada kotak.
b. Gunting huruf tersebut.
c. Batang aiskrim di potong dua.
d. Huruf tadi dilekatkan pada batang aiskrim.

6. Sediakan sampul untuk letakkan kesemua huruf tadi.

Siap!

*****************************





Close up 

Pandangan penuh

Khamis, 4 Jun 2015

Aktiviti Bahasa : Membina Perkataan

Bismillahirrahmanirrahim.

Apabila anak sudah pandai membaca, kita boleh pelbagaikan aktiviti supaya menjadikan membaca sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Selain membaca buku mungkin ibu bapa bleh gunakan cara ini.


Aktiviti : Membina perkataan

Bahan- bahan :

Beberapa set huruf a hingga z
Gam
Kertas

Kaedah :

1. Letak huruf dalam bekas.
2. Minta anak eja 1 perkataan.
3. Anak cari huruf dan tampal pada kertas.

************************************************

Kaedah ini boleh diubahsuai mengikut kemampuan anak masing-masing. Saya gunakan gam jenis glue stick untuk mengelakkan terlalu lekit. Selalu juga saya bantu anak mencari huruf bagi perkataan yang mahu dieja kerana timbunan huruf dalam bekas melambatkan prosesnya mencari :D

Mungkin kita sendiri akan terkejut dengan tahap kemampuan anak-anak. Don't underestimate them.

Selamat mencuba!