Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan

Isnin, 3 Ogos 2015

Mati itu pasti

بسم الله الرحمن الرحيم

Subhanallah Alhamdulillah Allahu akbar, hari ini menerima perkhabaran seorang guru meninggal dunia kerana terbakar di rumahnya. Menurut sebaran di media sosial beliau dikatakan membunuh diri namun begitu sumber dari ahli keluarganya mengatakan sebaliknya. 

Buatan orang atau sihir sememangnya satu perkara yang amat digeruni. Namun kita perlu yakin bahawa segala sesuatu adalah berlaku dengan keizinan Allah. Bagi mengelak perkara ini kita perlu menjaga solat dan mengaji al-Quran. Itulah benteng pertahanan diri kita yang telah Allah dan Rasulullah Sollallahu Alaihi wasallam pesankan.

Di hari yang lain, seorang jiran sekampung saya meninggal dunia. Namun, kematiannya menimbulkan sebak di dada. Beliau meninggal dunia di masjid qariah selepas solat. Sempat berzikir astaghfirullah (3x) dan mengucapkan La ila ha illallah lalu rebah. 

Ya Allah, mereka ini telah Kau jemput pulang. Bagaimana keadaanku nanti? Ampunkan daku Ya Allah. Ampunkan dosa ibu bapaku, suami, anak-anak dan kaum keluargaku. Temukan kami di syurga-Mu Ya Allah. Amin....



Rabu, 22 Julai 2015

Fitrah Home Library

Bismillairrahmanirrahim.

Still in progress....




Ahad, 30 November 2014

GST

Bismillah.

Buku pun kena GST? Oh tidaakkk... 

Haih...

Big Bad Wolf

Isnin, 24 November 2014

Aktiviti wajib cuti sekolah anak-anak

Bismillahirrahmahmanirrahim.

Untuk kesekian kalinya kami singgah untuk meminjam buku sambil bermain di Perpustam. Malangnya Ruang Santai dalam penambahbaikan. Maka tidak dapatlah anak-anak bermain di situ. Tetapi yang bagusnya mereka ralit dengan buku-buku.

Alamak, si kakak memegang buku "princess" tetapi dalam bahasa Cina. Kasihannya belum sampai masa pula nak ajar mandarin pada anak (wah, berangan! Hehe..haruslah berangan dahulu kan, barulah ada usaha untuk mencapai impian ;))

Kami meminjam 9 buah buku :

1. Buku "princess" bahasa Cina
2. Look At This - Siri Peter and Jane 1b
3. Barney's Many Hats
4. The Cat in The Hat Great Flip Book
5. Srikandi-srikandi yang Benar (PTS)
6. Apabila Remaja Bercinta...2 Alkisahnya (Muslim Teens)
7. Kisah Saya Saudara Baru (PTS)
8. Ladang Hati Mustika (AMN Publications)
9. Kafe Damia (JS)

Tarikh pulang pada 15 Disember nanti. Tadi saya lihat pustakawan sedang sibuk memproses buku baharu, ada juga rak yang telah dianjak dan beratus buku tersusun di atas meja. Penghawa dingin juga tidak berfungsi di perpustakaan kanak-kanak. Pengunjung hari ini tidak ramai maka agak selesa mencari dan memilih buku tadi :)

JOM baca buku!

Makan ayam goreng dahulu sebelum masuk :D

Di hadapan perpustakaan. 

Yeay! main di sini sekejap 

Buku yang dipinjam hari ini. Abdullah tak lepas memegang Barney's Many Hats dan Khaulah ke hulu hilir bawa buku "princess".

Jumaat, 21 November 2014

Doa untuk pengantin

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuti sekolah bakal bermula. Jemputan kahwin telah mula diterima sejak awal bulan ini. Jika disusun, hampir penuh jadual cuti ini ;) Masya Allah. Tabarakallah. Untuk semua bakal pengantin didoakan barakallahu laka wabaraka 'alaika wajama a bainakuma fi khair.

Banyakkan berSABAR dalam mengemudi bahtera rumah tangga. Semoga mendapat keberkatan Allah.


Rabu, 13 Ogos 2014

Alhamdulillah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah.
Sedang bercuti.
90 hari.

Moga anak ini aset kami ke syurga ^_^

Allahumma faqqihha fiddeen wa'allimha takwil..

6 Ogos 2014 | 10 Syawal 1435
1013
2.85 kg
Asma' binti Ahmad Kamalarifin




Jumaat, 6 Jun 2014

Santai di perpustakaan

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah beri nikmat kesihatan dan kelapangan masa untuk anak-anak ke perpustakaan negeri kali ini.

Perpustakaan Awam Negeri Melaka terletak di Bukit Baru, Melaka. Berdekatan dengan Kampung Kastam, Pejabat Pos Negeri Melaka dan Masjid Al-Azim (masjid negeri). Waktu operasi pada hari Isnin hingga Jumaat dan cuti sekolah ialah 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sabtu dan Ahad bermula 9.30 pagi hingga 2.00 petang. Tutup pada cuti umum.

Pendaftaran keahlian terbahagi kepada dua jenis iaitu percuma dan berbayar. Kanak-kanak seawal usia 3 1/2 tahun sudah boleh mendaftar keahlian. Bayaran RM2.00 dikenakan untuk kad ahli. Buat salinan fotokopi sijil kelahiran atau kad pengenalan anak (jika berumur 3 1/2 - 12 tahun), bagi remaja dan dewasa perlu fotokopi 1 salinan kad pengenalan.  Perkhidmatan fotokopi ada disediakan di perpustakaan ini di tingkat 1 atau ke kedai bersebelahan perpustakaan.

Sempena cuti sekolah ini saya lihat perpustakaan ada menyediakan aktiviti-aktiviti menarik hampir setiap hari. Ada sesi bermain jigsaw puzzle, tanah liat, membuat kad ucapan kreatif hari bapa dan lain-lain.


Bagi kanak-kanak disediakan dua ruang perpustakaan yang boleh dimasuki iaitu Ruang Santai dan Perpustakaan Kanak-kanak yang berada di ground floor. Dalam Ruang Santai terdapat permainan Wii (Video Game yang interaktif), perlu bayar sedikit untuk setengah jam atau 1 jam. Ada set sofa dilengkapi dengan rak bahan bacaan komik dan buku kanak-kanak di bahagian tengah dan set gelongsor dan permainan tradisional seperti congkak di hujung bilik.



Di perpustakaan kanak-kanak ada bilik untuk bermain i-pad dan bilik tayangan gambar 3D selain rak bahan bacaan kanak-kanak yang memenuhi ruang dalam perpustakaan. Tandas juga berada di sini untuk kemudahan pengunjung.

Agak ramai kanak-kanak yang berada di sini ketika kunjungan kami tempoh hari. Tambahan lagi cuti sekolah baru bermula :)

Saya meminjam tiga buah buku untuk anak-anak dan apa yang mengejutkan ialah anak-anak saya terutama yang kedua sangat menggemari buku cerita "Good Night, Gorilla" terbitan Scholastic. Saya pula tergerak hati mencari di youtube sekiranya ada versi digital. Ada! Oh, satu masalah pula bagi saya apabila si anak asyik mahu menonton video itu sahaja. Huhu...


Hari ini saya dan suami ke perpustakaan sekali lagi namun tanpa anak-anak kerana suami menyiapkan kerja. Saya mengambil peluang meminjam buku memandangkan tempoh pinjaman selama 3 minggu dan had maksimum meminjam sebanyak 5 buah. Oh, memang saya meminjam buku genre remaja kerana mempunyai beberapa tugasan untuk membuat ulasan buku dalam usrah bersama adik-adik nanti.


Pertama kali masuk ke ruangan dewasa. Suasana sangat sunyi. Kelihatan beberapa orang pengunjung sedang tekun membaca dan menelaah. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang bersama kumpulan belajar dan pakcik-pakcik berusia datang seorang diri dan tekun membaca bahan bacaan di tangan.

Selasa, 22 April 2014

Sukaneka anak-anak comel :)

Bismillahirrahmanirrahim.

13 April lalu Sukaneka PASTI Kawasan Kota Melaka berjaya dianjurkan. Meskipun banyak kekurangan dan cacat cela, masih ada ruang kebaikan dan kepuasan di kalangan penganjur dan pihak terlibat. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bukankah begitu? :)





Anak yang bersukaneka, ibu bapa yang lebih teruja. Sehingga masuk ke kawasan pertandingan. Memang begitu, ya? Hahaa... Satu suasana yang berbeza dengan sekolah kebangsaan ;)

Jumpa nanti di peringkat negeri!

Jumaat, 20 Disember 2013

Bengkel Membina Bahan Bantu Belajar (PASTI Kota Melaka)

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Selesai satu lagi program bersama guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kota Melaka semalam bertempat di PASTI Sri Ahmadiah 2.

Kawasan Kota Melaka mempunyai 7 buah PASTI dan semalam dapat dikumpulkan wakil guru dari 5 buah PASTI.

Program berjalan secara santai dan dibantu oleh 4 orang AJK kawasan iaitu Pn Junainah (Unit Kurikulum), Pn Norizan (Naib Setiausaha), saya dan Pn Dzuhaira.

Perkongsian mengenai BBB, idea membina bahan, hands-on dan membuat persembahan (micro teaching). Salah satu bahan saya gunakan Busy Bag yang dibuat untuk Khaulah =)

Hanya sempat bina 2 jenis bahan iaitu aktiviti pengecaman warna dan membina puppet dari beg kertas.

1) Aktiviti pengecaman warna.

Bahan yang digunakan 

Gabus telur
Warna air
Berus warna
Gunting

Cara = 

① Gunting gabus telur sebaris demi sebaris. Anggaran dalam 6 bekas .
② Warnakan sebaris demi sebaris dengan warna yang disukai.
③ Keringkan di bawah matahari atau kipas.
④ Gunting setiap bekas telur. Boleh mulakan aktivito dengananak murid dengan padankan warna yang sama, tindankan bekas telur dan lain-lain aktiviti yang dirasakan sesuai.

2) Puppet Singa dari beg kertas

Bahan yang diperlukan =
Beg kertas coklat 
Templat singa
Gunting
Gam
Pensel warna atau krayon
Cara = 

① Warnakan templat singa
② Gunting
③ Tampal singa pada beg kertas coklat mengikut arahan yang diberi.
④ Siap untuk dibuat aktiviti :)

Templat singa didapati daripada laman sesawang abcteach.com.

Insya Allah saya cuba muat naik templat tersebut nanti.

Semoga ada manfaatnya ^_^
Jazakallahu khaira buat semua yang terlibat.

Sesi penerangan dan membuat kraf daripada gabus telur

Brown bag puppet

Micro teaching

Majlis penutup dan pemberian sumbangan buku cerita bergambar kanak-kanak

Pautan berguna :

Brown Bag Puppet :

http://www.abcteach.com/directory/prek-early-childhood-fun-activities-paper-bag-puppets-3033-2-1

http://www.pinterest.com/cechazulle/paper-bag-crafts/

Isnin, 28 Oktober 2013

Projek Mini Sains @Petrosains Science Festival

Bismillah walhamdulillah.


Rupa-rupanya ada Festival Sains di Petrosains 22-27 Oktober 2013. Tak rugi ke sana :)  Ada 2 pilihan diberitahu oleh pekerja kaunter iaitu bayar RM30 untuk 1 keluarga masuk ke Petrosains atau memasuki pameran di tingkat bawah dengan bayaran (err..lupa berapa RM).hehe.. Kami memilih masuk ke Petrosains.





Paling menarik apabila ada kaunter-kaunter untuk eksperimen sains mudah disediakan di stesen-stesen tertentu. Kami sempat mencuba 3 jenis aktiviti.

1) Pembentukan awan

Letak sedikit air dalam botol mineral. Nyalakan sebatang mancis dan padamkan. Masuk dlm botol air tadi. Tutup. Picit botol tu banyak kali. Buka dan picit botol perlahan-lahan. Akan nampak pembentukan gumpalan seolah-olah awan pada permukaan botol. Penerangan dari segi Sains tak pandai pula nak terangkan ^^





2) Harmonika daripada penyedut minuman

🍄Susun dalam 7 batang penyedut minuman ygang sudah dipotong mengikut saiz tertentu. Susun ikut suka. Selotep. Letakkan batang aiskrim bawah dan atas penyedut minuman tadi. Selotep sekali lagi. 




3) Tornado table challege. 

🍄 Sediakan 3 cawan kertas, 1 bola ping pong,  1 cawan plastik yg dilubangkan tapaknya. Fikirkan bagaiman bola ping pong dari cawan plastik tadi nak dibawa masuk ke dalam cawan-cawan kertas tanpa bola jatuh dan tidak boleh tukar kedudukan cawan plastik. Jawapannya, pusingkan bola dalam cawan plastik (seolah-olah taufan) dan masukkan ke dalam cawan kertas.



Boleh cuba di rumah ini ^^ Semoga bermanfaat.

Khamis, 24 Oktober 2013

24 Oktober ^^

Bismillah walhamdulillah.

Syukur alhamdulillah, Allah meminjamkan kepada kami dua orang khalifah kecil yang menjadi penyejuk hati. Khaulah dan Abdullah Naufal. Didoakan menjadi anak soleh dan solehah. Amin...

Tarikh lahir keduanya adalah sama cuma tahun sahaja berbeza ;)

Hadiah untuk anakanda berdua hari ini saya buat sendiri... Penangan "Busy Bag" yang selalu dibaca melalui laman-laman sesawang luar negara. Sejak akhir-akhir ini saya banyak meluangkan masa mencari dan 'mengkaji' mengenai Busy Bag. Ada pelbagai jenis dengan ratusan aktiviti yang dibuat khusus untuk anak-anak kecil mahupun yang sudah bersekolah mengikut tahap mereka.

Sangat seronok melihat hasil aktiviti yang berwarna-warni dan kreatif. Subhanallah. Hebatnya Allah yang meminjamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Maka, dalam masa sehari semalam saya mencari idea dan membina beberapa aktiviti untuk Khaulah terutamanya. Memandangkan usianya sudah 3 tahun, Khaulah sudah ada sedikit pengalaman sedia ada.

Inilah hadiahnya.....

1. Padanan warna @ matching colours

Saya menggunakan kotak terpakai. Potong bulat. Ambil beberapa keping kertas warna, ukur, gunting dan tampal pada roda warna ini. Saya gunakan penyepit baju kayu dan saya tampalkan warna yang sama pada roda warna.





2. Jigsaw puzzle gambar keluarga menggunakan kayu aiskrim. Cetak dan tampal pada kayu aiskrim, potong menggunakan pisau. Boleh sahaja pelbagaikan gambar. Untuk bahagian ini, Khaulah masih belum dapat menguasai sepenuhnya. Perlu bimbingan lagi :)


3. Lacing time!
Khaulah panggil 'jahit baju' sebab saya buat bentuk baju. Tebuk lubang menggunakan 'single hole puncher' dan saya sediakan benang sulam untuk 'menjahit'. Ada beberapa bentuk lagi seperti pensel, empat segi dan bulat.




4. Permainan guli.

Err... sebenarnya tidak tahu mahu gelar nama permainan ini.

Saya mengambil inspirasi dari sebuah blog. Boleh ke testyyettrying.blogspot.com. Untuk permainan ini bahan yang saya gunakan :

Penutup kotak
Beberapa batang penyedut minuman
Gam kertas / gam UHU
Pen penanda (marker pen)
Bola kecil / manik besar / guli

Gamkan penyedut minuman mengikut jarak yang sesuai secara berselang-seli. Saya lukiskan garisan putus-putus seolah-olah sebagai jalan kepada bola yang dimainkan. Boleh ubahsuai untuk membuat aktiviti yang lebih sukar :)


5. Latihan awal menulis

Saya sediakan beberapa templat yang diperolehi dari sebuah blog. Malangnya saya lupa dari mana. Cetak dan laminate. Sediakan pen penanda dan tisu untuk memadam aktiviti yang dibuat. Boleh diulang banyak kali. Ini memang kegemaran Khaulah :)




Untuk menyimpan semua bahan ini, saya gunakan beg berzip bersaiz A5 dan A4.


Semoga bermanfaat. Jika ada ibu-ibubyang mempunyai idea kreatif, bolehlah berkongsi dengan saya. Tinggalkan link anda di ruang komen. Terima kasih ^^

Isnin, 30 September 2013

Ceramah Haji di Baitul Fatimah


بسم الله الرحمن الرحيم

Jazakallah khaira buat al-fadhil Ustaz Nasir selaku penceramah jemputan, mak ayah, ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang sudi hadir ke majlis ilmu ini. Barakallahufikum.

Sabtu, 28 September 2013

Karnival Mahabbah IKIM FM 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

Usai urusan di Kompleks MAIM, kami sekeluarga solat Asar di Masjid Al Azim. Ramainya orang. Baru teringat akan Karnival Mahabbah IKIM fm. Oh, mengenangkan Khaulah yang mengamuk tengah hari tadi di tempat kerja saya kerana ingin balik ke rumah, saya enggan ke tapak karnival. Tetapi melihatkan dia sendiri yang berjalan kami ikutkan sahaja.

Acara yang sedang berlangsung ketika itu ialah sesi bersama Ustaz Zul Ramli bersama seorang DJ IKIM (saya tidak tahu namanya). Disebabkan tempat duduk penuh kami berdiri sahaja sambil mendengar. Tapi saya tidak berapa tumpu perhatian kerana lebih memerhatikan anak-anak.

Antara yang sempat didengari ialah kuasa doa seorang ibu dalam kejayaan dan kehidupan anak-anak. Ramai ibu yang bekerja masa kini menyebabkan kurang masa memasak untuk anak-anak. Lebih ramai memilih masakan segera iaitu "fast food". Apabila sudah ditanamkan "fast food sedap" sejak dari kecil, itulah yang menjadikan anak-anak lebih gemar makan "fast food" kerana sudah sebati dalam minda mereka.

Doa seorang ibu makbul. Doakanlah untuk anak-anak anda, kata Ustaz Zul.

Kami hanya melihat-lihat gerai yang ada. Banyak gerai menjual pakaian wanita seperti tudung, jubah, selendang. Ada gerai barangan bayi dan kanak-kanak, menjual jam tawaf, jubah lelaki (jahit sendiri bukan diimport dari China), wakaf, makanan sunnah, pelaburan Bank Islam, menjual baju renang muslimah, dan gerai buku.







Selasa, 13 Ogos 2013

 Ciri-ciri pemimpin :

☆ Personaliti : kemas, nampak disegani
☆Akademik : fokus, jangan buang masa
☆ Akhlak : berfikiran matang, hubungan dengan Allah dan manusia dijaga, contoh tauladan misalnya jaga hati kawan
☆Pengorbanan : ikhlas

Yang paling penting dalam doa : istiqamah.


~ terjumpa short note sewaktu kuliah agama zaman muda dulu... moga ada kebaikan. Barakallahufikum ♡

Rabu, 10 Julai 2013

Diari Ramadan 1

Alhamdulillah tahun ini berpeluang bertemu ramadan sekali lagi. Allah..nikmat Tuhanmu yang manakah mahu didustakan lagi.

Hari ini cuti umum. Alhamdulillah dapat sambut ramadan dalam suasana yang tenang. Anak-anak pun tidak ke rumah pengasuh. Luar biasa sekali tenaga si kakak. Dari mula celik mata di awal pagi sehingga malam masih aktif bergerak ^_^  Adik masih kurang sihat namun sama aktif dengan si kakak.

Saya kira hari ini saya mendapat 'hadiah' ramadan. Khaulah mampu membaca semua huruf berbaris atas di dalam buku Al-Furqan 1. Masya Allah. Hari ini Khaulah berusia 2 tahun 8 bulan 16 hari. Terima kasih Allah. Saya menginsafi diri yang masih belum mampu mampu menjadi ibu terbaik namun saya cuba memperbaiki diri dari masa ke semasa. ..

Benarlah ya, anak-anak kecil ini mempunyai ingatan yang sangat kuat. Sangat rugi sekiranya kita tidak memanfaatkannya secara optimum.. semoga Allah memberi ruang dan masa lagi kepada kami suami isteri untuk mendidik anak-anak kami mengikut syariat-Nya. Ameenn... ^_^
Jom perbaiki diri sempena bulan yang mulis ini. Tingkatkan KUALITI ibadah kita. Ingatan untuk diri sendiri juga.

Rabu, 15 Mei 2013

Selamat Hari Guru

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika saya merasakan tekanan di tempat kerja..terasa seperti Allah memberi peringatan terus kepada saya melalui dua perkara.

Pertama, sewaktu berbual dengan seorang adik ipar beliau bercerita mengenai seorang rakan sekelasnya semasa mengambil ijazah sarjana dahulu. Rakannya ini seorang perempuan, belum berkahwin namun kejayaan demi kejayaan berjaya dicapainya sama ada di dalam kerjaya mahupun pelajaran. Beliau menjaga ibu dan ayah yang sakit, sibuk dengan tugasan sebagai pensyarah kolej dan mengejar 'due date' menghantar 'assignment'. Setiap hari beliau bangun 3 pagi untuk menguruskan ibu dan ayah yang kurang sihat sebelum keluar bekerja dalam kira-kira 6 pagi dengan menaiki bas. Apa yang dikagumi ialah beliau belajar bukan sekadar menghafal tetapi benar-benar memahami apa yang dipelajari. Subhanallah.

Kedua, sewaktu menyelesaikan tugasan di sekolah datang seorang rakan sekerja (yang telah lama berkhidmat sebagai seorang guru). Saya meminta nasihat dan pandangan mengenai beberapa perkara. Setelah itu beliau berkongsi pengalamannya selama beliau berkhidmat sebagai seorang guru.

Guru sekarang tidak seperti guru dahulu. Guru dahulu tidak berkira sewaktu bekerja. Guru sekarang amat berkira. Di dalam kelas tidak memberi sepenuh usaha dalam mendidik anak murid. Bukan semuanya begitu tetapi budaya ini semakin menular. Rakan guru ini juga menekankan kepentingan membuat persediaan mengajar terutama Rancangan Pengajaran Harian. Ada guru yang mengambil ringan perkara ini.

Insaf. Molek sekali perkongsian beliau tengah hari itu.  Semoga saya tidak tergolong di dalam golongan yang sambil lewa bekerja.

Tetapi saya tidak nafikan masih ada guru yang begitu komited dengan kerja yang dibuat. Apabila diberi kerja dilaksanakan dengan baik. Apabila perlu membawa murid keluar ke pertandingan, perlawanan mahupun lawatan menerima tanggungjawab membawa mereka. Kelad tambahan siang dan malam tidak pernah merungut. Di dalam kelas mengajar bersungguh-sungguh sehingga murid faham. Semoga Allah memberi kebaikan kepada guru-guru ini. Amin...


SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

Ahad, 12 Mei 2013

BBW di Melaka!

Wah, terujanya!
Pertama kali dapat ke sini. 
Jazakallah khaira buat suami kerana mengizinkan pergi.
Jazakallah khaira juga buat Kak Yah sudi bawa kami ^_^

Dalam kepala tidaklah mahu membeli sakan 
kerana PBAKL baru sahaja berlalu.

Kami sampai hampir 7 petang dan balik sebelum 7.30 malam. 
Memang murah dan sangat berbaloi.
Beli buku untuk anak dan anak buah.
Sebuah untuk sekolah.

Alhamdulillah ^^,

Ketibaan ;) Masih terang. Hampir 7 malam.

Suasana..

Wah, luasnya!

Buku kanak-kanak

Salah satu buku yang ada

Hasil belian ^^,

OK, nak balik. Gelap sudah... 

Singgah ke rumah adik ipar.
Tabiat saya suka ambil gambar rak buku rumah orang :)

Banyaaaaak buku... :)