Isnin, 10 Disember 2012

Membina sikap positif anak

بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam sehari berapa kali kita kata 'jangan' pada anak?
Dalam sehari berapa kali kita marah anak?

Dalam sehari berapa kali kita puji anak kita?
Dalam sehari berapa kali kita luangkan masa dengan aktiviti anak-anak kita?

Tepuk dada tanya hati kita..

Sebelum dilahirkan anak kita selesa berada di dalam rahim kita oleh itu apabila lahir ke dunia dia melihat pelbagai warna, bentuk dan objek baru yang ingin diterokainya. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya anak-anak kita mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi.

Anak-anak ini membesar dan mengambil kita (ibu bapanya) sebagai 'role model' dan kita seharusnya sedar kita mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam hidupnya. Oleh kerana itu setiap pertuturan, tingkah laku dan emosi kita perlu diperhatikan sebaiknya kerana mereka akan meniru semua perbuatan ini! Dan tanpa kita sedari sebenarnya ia juga menyumbang kepada pembentukan personaliti dan konsep kendiri mereka.

Setiap anak dilahirkan genius. Tetapi hampir seratus peratus sifat genius itu terhakis dalam masa yang sangat cepat disebabkan kita! Antara puncanya ialah kita selalu mengucapkan perkataan jangan dan tidak mengambil endah apa yang dilakukan oleh anak kita.

Mari kita cuba ubah keadaan ini. Meskipun saya tahu semua ibu dan bapa sangat sibuk dengan kerja masing-masing.

Mungkin kita boleh ubah pendekatan dengan anak-anak :

+ Memuji hasil kreativitinya menyusun Lego. "Wah, pandainya anak ummi susun ikut warna!" 
+ Memuji atau memberi ganjaran apabila melakukan perbuatan baik. Ganjaran tidak semestinya dalam  bentuk wang atau gula-gula tetapi juga pelukan, rangsangan kata-kata dan penghargan. "Baiknya kakak tolong ummi angkat baju. Terima kasih ya kakak."

Semoga kita berjaya menjadi ibu bapa yang sabar, penyayang dan cemerlang :)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mode : anak mula meniru ayat-ayat yang diucapkan oleh orang sekeliling seperti "Tak nak kawan!", "Ummi, takut hantu..." huhuhu.... padahal tidak pernah ajar pun cakap sebegitu :( pengaruh TV...

Dah pandai mengamuk bila disebut perkataan "jangan"....hm..

Khamis, 6 Disember 2012

Syukur. . .

Saya bersyukur...
Walaupun diuji dengan keguguran anak sulung pada 2009, namun ia memberi hikmah yang besar kepada saya.

Saya bersyukur... 
Kerana peristiwa itu memberi saya pengalaman melalui kehamilan seterusnya.

Saya bersyukur...
Allah memberikan saya peluang untuk melahirkan Khaulah dan Abdullah Naufal.

Saya bersyukur...
Dikurniakan suami dan dikelilingi ahli keluarga  dan rakan-rakan yang menyokong dan menyayangi saya.

 

Apabila diimbas kembali, kehamilan pertama dilalui tanpa mempunyai asas pengetahuan yang cukup kuat tentang kehamilan. Mungkin juga kerana saya masih belajar ketika itu dan tidak begitu mengambil berat hal ini.

Kemudian, setelah disahkan hamil kali kedua, saya sudah pun posting di SKPKM. Alhamdulillah, di sinilah saya mula mendapat kesedaran dan pengetahuan akan penyusuan susu ibu. Siapa sangka sekolah kecil ini mempunyai ibu-ibu guru yang bersemangat waja menyusukan anak sehingga dua tahun penuh (",) ~ Kak Suzani, Kak Maisara, Kak Yat, Kak Adawiyah

Bermulalah perjalanan saya sebagai ibu berkerjaya yang berniat menyusukan anak sehingga genap usia 2 tahun seperti yang disarankan di dalam Al-Quran :

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu” –(Surah Al-Baqarah : ayat 233)

Bukan mudah untuk menyusu badan sepenuhnya :) 

Antara kesilapan yang saya lakukan dahulu ialah :

+ Tidak membuat persiapan menyimpan stok susu seawal kelahiran bayi (lambat memulakan sesi mengepam dan lambat membeli pam susu).
+ Tidak begitu bersungguh mengepam dan menyimpan stok susu (kerana kurang pendedahan dan ilmu).
+ Tidak menjaga makan minum yang menyebabkan produksi susu naik turun (dan menyebabkan saya terkejar-kejar membuat stok susu setiap hari apabila mula bekerja kerana stok tidak mencukupi. Huhu).

Opss...banyaknya perkataan 'tidak'. Ish.ish..ish.. Mari kita tukar kepada perkataan yang positif pula :)

Belajar dari pengalaman
 

Kini, alhamdulillah saya berusaha mengubah semuanya menjadi lebih baik. Hari ini sebenarnya hari ke-44 selepas saya melahirkan Abdullah Naufal. Sungguhpun saya mula mengepam susu bermula hari ke sembilan (1 November 2012), namun hasilnya amat berbaloi bagi saya. 

Sebahagian stok susu saya (",)
Pada awalnya saya begitu risau kerana kuantiti susu yang terhasil dari sesi pengepaman sangat sedikit. Saya mengepam sehingga 8 kali sehari namun masih tidak melebihi 10 oz. Berkat usaha, doa dan sokongan rakan-rakan, saya tidak putus asa. Setakat catatan ini, saya berjaya mengumpul sebanyak 71 botol x 5oz dan satu milk storage dengan muatan 10oz. 

Saya tidak tahu perbandingan dengan ibu-ibu lain tetapi saya sangat bersyukur dengan kemudahan yang Allah beri kepada saya ini. Saya tidak pernah mengalami situasi mempunyai stok sebanyak ini sewaktu anak pertama dahulu.

7 kotak botol susu Bumble Bee yang telah habis digunakan (",)
Bagi menyusukan anak sepenuhya, yang penting ialah :

+ Niat kita menyusukan anak kerana Allah dan berniat menyusu penuh selama 2 tahun (lebih pun tidak mengapa).
+ Fikiran yang positif, emosi yang stabil, dan fizikal yang sihat.
+ Minum air masak 3 liter atau lebih dalam sehari.
+ Jadual pam atau perahan susu yang tetap.
+ Elak skip jadual pengepaman.
+ Makan makanan seimbang.
+ Minum susu.
+ Minum ai masak suam sebelum dan selepas sesi mengepam susu.

Ibu-ibu boleh menggunakan segala petua atau mengambil vitamin (milk booster, SHAKLEE etc) untuk menambahkan susu badan namun harus diingatkan bahawa konsep asas penyusuan ialah  SUPPLY and DEMAND. Tidak guna sekiranya makan vitamin berharga ratusan ringgit tetapi ibu-ibu kurang minum air dan tidak makan dengan betul.


Banyakkan berdoa supaya kita dapat menyusukan anak sepenuhnya.

Anak yang menyusu badan lebih sihat, cerdas, aktif dan tidak mudah sakit (",) ~ Umar, Kauthar dan Khaulah
 Wallahualam ...

Selasa, 4 Disember 2012

Allah hebat

Sejak ada adik, kasihan juga lihat Khaulah bermain, berceloteh dan berlakon seorang diri. Penat bercakap, dikacaunya nek nyang atau mengusik barang-barang di rumah :)

Lalu, bila adik tidur, saya pun duduk bersamanya sama ada bermain atau membaca buku. Aktiviti yang disukainya adalah bertanya.

Khaulah : "Ni apa?"
Ummi : "Buah anggur"
Khaulah : "Oooo"

Khaulah : "Ni apa?"
Ummi : "Terung".

Giliran saya pula bertanya : "Ini warna apa, Khaulah?"
Dia diam (",)

Saya jawab : "Dua-dua warna ungu. Tapi jenis yang lain. Satu buah, satu lagi sayur. Boleh makan tak ni?"
Khaulah : "Boleh. Mm..dapnya... (sedapnya)" (Aih..sejak bila dia makan terung? Hehe)

Ummi : "Ha, Allah cipta semua benda. Terung dan anggur ni pun Allah cipta. Hebat kan, Allah? Warna sama tapi rasa tak sama. Sebab itu kita kena ikut perintah Allah. Allah tu kuat, hebat. Siapa cipta kita, Khaulah?".
Khaulah : "Allah!!" (sambil angkat telunjuk kedua-dua belah tangan)
Ummi : "Mumtaz!"
Khaulah :"Ok habish..jom tido"
Ummi : "Eh, baru 1 warna. Yang lain tak nak baca?"
Khaulah : "Nanak...."

Hai.. inilah anakku. Moga jadi anak yang cerdik dan solehah. Ameen.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Inilah soft book yang dibacanya. Mengenal warna. Kredit gambar kepada Facebook Addinie Fuad :)




Isnin, 3 Disember 2012

Pilih yang mana satu :)

Jadilah seperti mata LEBAH, yang hanya melihat bunga yang cantik.
Jangan jadi seperti mata LALAT, yang hanya menuju tempat yang busuk.

+ kredit kepada mak saya +

sumber gambar : klik sini

Sabtu, 1 Disember 2012

24 Oktober yang manis.. ^_^



Pagi itu (23 Oktober) saya tidak ke tempat kerja. Berasa tidak sedap badan, saya mengajak suami ke hospital. Sementelah saya juga tidak hadir check up sehari sebelumnya. Malangnya, hasrat itu terpaksa dibatalkan ekoran suami tidak mendapat kebenaran daripada majikannya :(

Maka sementara menunggu suami pulang dari kerja tengah hari itu saya membuat urusan diri dan rumah seperti biasa. Tengah hari itu ada timbul sedikit rasa sakit tetapi saya abaikan sahaja kerana memang sepanjang mengandung, anak sulung saya menyusu badan. Lagipun sejak seminggu sebelum itu doktor mengesahkan sudah ada bukaan sebanyak 2cm tetapi tiada tanda untuk bersalin maka saya ke tempat kerja seperti biasa.
Tambahan pula saya anggap sakit itu terjadi kerana kontraksi yang timbul semasa menyusukan anak.

Kira-kira  jam 3 petang saya sampai di hospital. Giliran saya tiba hampir jam 4 petang. Doktor bertanya khabar dan keadaan saya. Dan beliau bertanya “Agak-agak bila awak bersalin?”. Saya sekadar ketawa. Tanpa diduga, doktor memeriksa laluan dan sudah ada bukaan sebanyak 4cm! Masya Allah saya langsung tidak berasa sakit. Teringat ketika Khaulah dahulu, 4cm ini saya sudah mengerang kesakitan. Tidak tertanggung rasanya :D
Doktor bertanya sama ada saya mahu pulang ke rumah atau terus dimasukkan ke wad? Saya memilih untuk tinggal di wad. Bimbang pula sekiranya sakit mahu bersalin di rumah tengah malam ini! Nanti mahu ke hospital pula dalam keadaan sakit-sakit seperti itu. Oh, tidak. Saya tidak mahu ambil risiko.

Secara tiba-tiba pula Khaulah demam! Panas betul badannya.

Petang itu pertama kali saya ‘berpisah’ dengan Khaulah. Huhuhuhu..sedihnya.. Khaulah dihantar ke rumah pengasuh sementara menunggu saya bersalin. Suami menemani saya di wad kerana selepas subuh esok saya akan ditolak ke bilik bersalin. Dalam hati saya berdoa semoga semua urusan dipermudahkan Allah dan semoga Khaulah cepat sembuh. Tidak dapat digambarkan perasaan ‘berpisah’ dengan Khaulah waktu itu, macam-macam rasa timbul. Kasihan…

Dalam masa yang sama, saya juga berdoa supaya dapat melahirkan keesokan harinya, 24 Oktober kerana esok ialah hari lahir anak saya yang sulung itu juga. Hehe…

Esoknya, selesai solat Subuh, jururawat memantau keadaan saya. Saya diberi sarapan ringkas dan 6.30 pagi dimasukkan ke bilik bersalin. Gementar juga. Saya memikirkan bagaimana agaknya ketika saya nak bersalin, dapatkah saya bersabar, dan…dan.. banyak sangat dan da….

Pukul 7 pagi semua persiapan sudah dilakukan cuma menunggu doktor datang jam 7.30 pagi. Bukaan saya masih 4 cm oleh itu saya di’induce’. Dalam masa yang sama, saya terdengar suara kawan saya di bilik sebelah. Oh, dia pun bersalin hari ini :D Sempat lagi doktor dan jururawat membuat lawak. Kira-kira sejam selepas di’induce’, saya sudah mula berasa sakit. Allah…

Sedar tidak sedar kontraksi semakin kerap dan saya turut mendengar suara kawan saya di sebelah sudah mula meneran. Hehe…. Saya pun sudah hampir nak ‘push’ tapi ditahan oleh jururawat kerana bukaan baru 9 cm.. Allah.. Allah..saya berdoa agar cepat bukaan penuh dan doktor sempat menyambut bayi saya (kerana dia menyambut bayi rakan saya).
Alhamdulillah, dengan hanya sekali ‘push’ bayi saya selamat dilahirkan. Berselang 7 minit sahaja dengan kawan saya di sebelah. Hehehe… dua-dua dapat bayi lelaki ;)


Kepada Allah jua saya panjatkan kesyukuran, lahirnya permata kedua dalam keluarga kami. Semoga Allah juga memberi kebaikan dan keberkatan kepada semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang mendoakan. Barakallahufikum :)