Rabu, 15 Mei 2013

Selamat Hari Guru

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika saya merasakan tekanan di tempat kerja..terasa seperti Allah memberi peringatan terus kepada saya melalui dua perkara.

Pertama, sewaktu berbual dengan seorang adik ipar beliau bercerita mengenai seorang rakan sekelasnya semasa mengambil ijazah sarjana dahulu. Rakannya ini seorang perempuan, belum berkahwin namun kejayaan demi kejayaan berjaya dicapainya sama ada di dalam kerjaya mahupun pelajaran. Beliau menjaga ibu dan ayah yang sakit, sibuk dengan tugasan sebagai pensyarah kolej dan mengejar 'due date' menghantar 'assignment'. Setiap hari beliau bangun 3 pagi untuk menguruskan ibu dan ayah yang kurang sihat sebelum keluar bekerja dalam kira-kira 6 pagi dengan menaiki bas. Apa yang dikagumi ialah beliau belajar bukan sekadar menghafal tetapi benar-benar memahami apa yang dipelajari. Subhanallah.

Kedua, sewaktu menyelesaikan tugasan di sekolah datang seorang rakan sekerja (yang telah lama berkhidmat sebagai seorang guru). Saya meminta nasihat dan pandangan mengenai beberapa perkara. Setelah itu beliau berkongsi pengalamannya selama beliau berkhidmat sebagai seorang guru.

Guru sekarang tidak seperti guru dahulu. Guru dahulu tidak berkira sewaktu bekerja. Guru sekarang amat berkira. Di dalam kelas tidak memberi sepenuh usaha dalam mendidik anak murid. Bukan semuanya begitu tetapi budaya ini semakin menular. Rakan guru ini juga menekankan kepentingan membuat persediaan mengajar terutama Rancangan Pengajaran Harian. Ada guru yang mengambil ringan perkara ini.

Insaf. Molek sekali perkongsian beliau tengah hari itu.  Semoga saya tidak tergolong di dalam golongan yang sambil lewa bekerja.

Tetapi saya tidak nafikan masih ada guru yang begitu komited dengan kerja yang dibuat. Apabila diberi kerja dilaksanakan dengan baik. Apabila perlu membawa murid keluar ke pertandingan, perlawanan mahupun lawatan menerima tanggungjawab membawa mereka. Kelad tambahan siang dan malam tidak pernah merungut. Di dalam kelas mengajar bersungguh-sungguh sehingga murid faham. Semoga Allah memberi kebaikan kepada guru-guru ini. Amin...


SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan