Anak ialah anugerah Allah buat kita. Pelbagai gelaran diberi untuk menunjukkan betapa anak ini merupakan satu anugerah tidak ternilai buat kita. Permata hati ibu dan ayah.
Malangnya sifat kasih dan sayang itu semakin lama semakin luntur dalam diri seorang ibu atau ayah. Terutama anak yang tidak diingini & lahir melalui jalan yang tidak sah. Kasihan bayi itu. Jika tidak mahukan anak itu janganlah dibuang dalam tong sampah, digantung di tiang, dicampak ke dalam sungai malahan sehingga tersumbat lubang tandas kerana bayi dibuang di situ!
Astaghfirullahalazhim.. sedarlah, masih ramai lagi orang yang mahukan anak tetapi masih belum diberikan peluang oleh Allah untuk memperolehinya. Kadang-kadang berasa pelik juga, sanggup pula 'golongan' ini menanggung sakit dan payah mengandung selama 9 bulan 10 hari tetapi apabila lahir sahaja anak itu, sanggup dibuang merata-rata. Haiwan pun sayangkan anak, inikan pula manusia! Semakin lunturkah fitrah kasih ibu?
Muak
Mohon maaf kerana entri kali ini agak emosi. Bukan apa, rasa marah, geram, kecewa dan sedih bertandang tatkala melihat kes buang bayi yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini dan tidak nampak penghujungya.
Ibu bapa berperanan penting dalam mencorak anak-anak. Didikan agama seharusnya menjadi tunjang utama dalam diri anak-anak. Terlebih penting sebelum itu bagaimana seseorang lelaki dan perempuan itu memilih pasangan hidup yang bakal menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak mereka nanti.
Tetapi saya juga tidak menafikan sistem pendidikan kita sekarang menyumbang sedikit sebanyak terhadap gejala ini. Malahan cuba lihat di media massa kini, hanya hiburan, hiburan, dan hiburan sahaja disogokkan buat santapan masyarakat. Muak. Budak kecil berusia 3 tahun pun sudah pandai menari dan menyanyi meniru aksi peserta program realiti TV!
Apa yang pemimpin negara ini lakukan bagi menangani isu ini? Bank Bayi? Kempen? Ianya tidak begitu efektif kerana itu semua hanyalah cabangnya tetapi akarnya tidak ditebang. Masalah pokok perlu diselesaikan barulah cabangnya dapat dikawal.
Peluang
Marilah kita sama-sama menggembleng tenaga mencegah masalah ini. Islam ini indah dan menyeluruh. Peluang untuk kita berdakwah juga luas. Sama ada mahu atau tidak mahu sahaja. Berdakwah bukan hanya perlu ada hujah yang mantap dengan ayat quran dan hadis tetapi melalui akhlak dan perbuatan kita. Semoga Allah memberkati kita semua.
Petua
Baru-baru ini saya menonton program Tanyalah Ustaz TV9. Tajuknya Anak Anugerah Allah (jika saya tidak silap). Ustaz itu ada memberikan petua mendapat anak mengikut petua orang Arab. Katanya ambil segenggam kurma yang telah dibuang biji lalu dikisar (blend) bersama segelas susu kambing. Meminumnya sekali seumur hidup pun tidak mengapa kerana khasiatnya. Wallahualam. Kita hanya berusaha Allah yang menentukan..