بسم الله الرحمن الرحيم
Usai urusan di Kompleks MAIM, kami sekeluarga solat Asar di Masjid Al Azim. Ramainya orang. Baru teringat akan Karnival Mahabbah IKIM fm. Oh, mengenangkan Khaulah yang mengamuk tengah hari tadi di tempat kerja saya kerana ingin balik ke rumah, saya enggan ke tapak karnival. Tetapi melihatkan dia sendiri yang berjalan kami ikutkan sahaja.
Acara yang sedang berlangsung ketika itu ialah sesi bersama Ustaz Zul Ramli bersama seorang DJ IKIM (saya tidak tahu namanya). Disebabkan tempat duduk penuh kami berdiri sahaja sambil mendengar. Tapi saya tidak berapa tumpu perhatian kerana lebih memerhatikan anak-anak.
Antara yang sempat didengari ialah kuasa doa seorang ibu dalam kejayaan dan kehidupan anak-anak. Ramai ibu yang bekerja masa kini menyebabkan kurang masa memasak untuk anak-anak. Lebih ramai memilih masakan segera iaitu "fast food". Apabila sudah ditanamkan "fast food sedap" sejak dari kecil, itulah yang menjadikan anak-anak lebih gemar makan "fast food" kerana sudah sebati dalam minda mereka.
Doa seorang ibu makbul. Doakanlah untuk anak-anak anda, kata Ustaz Zul.
Kami hanya melihat-lihat gerai yang ada. Banyak gerai menjual pakaian wanita seperti tudung, jubah, selendang. Ada gerai barangan bayi dan kanak-kanak, menjual jam tawaf, jubah lelaki (jahit sendiri bukan diimport dari China), wakaf, makanan sunnah, pelaburan Bank Islam, menjual baju renang muslimah, dan gerai buku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan