Jumaat, 31 Januari 2014

Temu Santai 4

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah kerana Allah meminjamkan nyawa dan memberi kesihatan kepada kami untuk bertemu pada kali ini. Waktu usrah ditukar ke siang hari memandangkan kali ini ada projek mini yang ingin dilaksanakan. Sementelahan lagi hari ini cuti umum sempena Tahun Baru Cina. Kesemua adik ini juga bercuti.

Asalnya berjanji 2.30 petang namun hanya seorang menepati waktu. Manakala yang lain tiba pada pukul 3.00 petang. Subhanallah adik-adik ini. Apa lagi, kena dendalah. Minggu depan nak dengar hafazan 10 ayat pertama surah Al-Kahfi ya! :)

Sambung bacaan al-Quran minggu lepas bermula ayat 18 sehingga ayat 36 surah al-Baqarah. Kemudian, terus kepada perbincangan minggu ini iaitu berkisar tentang makanan. Pamplet telah disediakan dan adik-adik ini diberi masa membaca dan mencari isi penting. Saya senaraikan beberapa potong ayat Quran yang berkaitan dengan makanan.


Pamplet



Kami bincangkan dan adik-adik ini sendiri mengeluarkan isi, memberi pendapat dan ada sesi soal jawab. Kami turut menyentuh jenis-jenis hukum di dalam Islam, adab makan, kesan makan makanan haram, hukum membeli makanan daripada orang bukan Islam dan sedikit isu mengucap selamat hari raya kepada rakan bukan Islam ketika mereka menyambut perayaan agama mereka.

Seterusnya, kami beralih kepada projek membuat mini pizza. Adik-adik ini bergerak masuk ke kumpulan masing-masing dan membuat persediaan membuat pizza :) Resipinya telah dilampirkan pada pamplet dan saya juga memberi sedikit taklimat berkenaannya.



Semerbak harum ruang mengaji di rumah ini dengan bau sos dan persiapan pizza mereka ^_^ Subhanallah. Bersemangat sekali mereka ini. Tanpa disangka ramai pula anak-anak lelaki yang turut hadir petang ini namun mereka 'dilarang' masuk ke kawasan kami :)

Sepanjang aktiviti ini, banyak perkara dapat diperhatikan terutama saya lebih mengenal sedikit sebanyak perangai mereka yang selama ini tidak ketara dilihat. Ada yang suka membantu, mulut diam tetapi kaki tangan pantas bekerja, bijak memimpin kumpulan, banyak idea, kreatif, tinggi kerjasama dan kemas.

Tidak kurang juga ada yang mahu membuat semua kerja sendiri, kurang percaya orang lain membuat tugasan (ada pro dan kontra sikap begini :) ), banyak bercakap namun kerja masih dibuat dengan elok dan paling kurang enak ada segelintir yang kurang prihatin dengan rakan lain. (Oh, sesuatu yang harus saya ambil perhatian!)

Alhamdulillah, pukul 3 ke 5.30 petang dapat digunakan sebaiknya. Semoga Allah memberkati adik-adik ini.

Ya Allah, ampunkan dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami, jadikan kami orang yang solat dan mengingati-Mu, jadikan kami perempuan solehah dan pimpinlah kami ke arah kebaikan. Ameeen....

Wallahualam.

Khamis, 30 Januari 2014

Menu sihat : Ikan bakar + air asam

Bismillahirrahmanirrahim.



Sumber Buku Sajian Sihat dan Lazat oleh Suwarsi M. Arukin terbitan Karangkraf

Bahan :

1 ekor ikan siakap / ikan kerapu - dibersihkan
Limau nipis - dihiris
Aluminium foil
Daun pisang
Garam, lada hitam dan lada sulah secukup rasa

Bahan pencicah :

1 cawan air asam jawa
1 biji bawang besar - dimayang halus
3 biji bawang merah - dimayang halus
1 biji tomato ranum - dicincang halus
4-5 biji cili padi - dihiris nipis
1 biji cili merah - dibakar dan ditumbuk kasar
1 sudu teh gula perang
Garam secukup rasa

Cara-cara :
1. Perap ikan sebentar dengan garam, lada hitam dan lada sulah. Ratakan. Sediakan aluminium foil+alas daun pisang. Letak ikan dan bakar hingga masak.
2. (Buat kuah pencicah) Campur semua bahan kecuali garam dan gula perang.. Gaul rata, sesuaikan rasa dengan tambah garam dan gula perang.
3. Semasa menghidang, perahkan limau nipis ke atas ikan.
4. Siap hidang dan sedia dimakan.

** Saya buat ikut apa yang ada di rumah sahaja. Ikan selar kuning bersaiz besar dan pupuk garam kunyit sebab lada hitam dan lada sulah tiada. Gula perang pun saya ganti dengan sedikit gula pasir. Limau nipis pun tiada >_<

Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang Allah beri hari ini :)

Rabu, 29 Januari 2014

Buku dan aktiviti 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku : Allah Makes Cats
Terbitan : Saba Islamic Media Sdn Bhd


Siri Ini memperkenalkan secara ringkas mengenai kucing dan mengaitkannya dengan kekuasaan Allah. Ayatnya terdiri dari beberapa patah perkataan sahaja. Misalnya ' Cats like insects.'

Semasa membaca boleh tunjuk pada perkataan dan membaca dengan kadar perlahan. Anak dalam usia 39 bulan ini sudah boleh ikut sebutan dengan baik.

Mulanya saya ingin aplikasikan teknik bercerita menggunakan lipatan tetapi minat anak lebih kepada melihat gambar di dalam buku cerita ini maka aktiviti lipatan saya lakukan selepas sesi bercerita.

Sudah tentu kami membuat origami kucing ^_^ Buat yang mudah sahaja sesuai dengan usia anak.

Cara membuat origami kucing
Hasil tangan Khaulah - lipat, lukis dan warna sendiri. Alhamdulillah.
Itu sahaja untuk hari ini. Moga bermanfaat. Wallahualam.

Selasa, 28 Januari 2014

Buku dan aktiviti 2


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku :

Violet's House



Ringkasan buku :

Buku bergambar kanak-kanak bersaiz besar (big book) di bawah siri Baby Einstein.  Menceritakan tentang rumah kediaman dengan pelbagai tekstur disertakan pada gambar seperti kerusi dilengkapi kain kusyen yang agak kesat, pasu bunga yang jernih bertekstur licin, span pencuci pinggan bertekstur sedikit kasar dan lain-lain.

Paling menarik hati anak-anak ialah alatan melukis Violet yang berada di dalam palet lukisan agak melekit apabila disentuh :)

Saya beli buku terpakai dari salah sebuah blog atas talian. Sudah lupa url blognya. Memang sejak dari awal anak sangat suka buku ini. Dibawa ke mana-mana.

Cadangan aktiviti :

Hasil kerja Khaulah
♡ Origami - rumah, gambar haiwan dan bunga
♡ Membina replika peralatan dalam rumah menggunakan bahan terpakai seperti kotak tisu untuk membuat meja, katil dan rumah.♡ Bermain doh
♡ Membuat buku mini tekstur anda sendiri! Gunakan apa yang ada di rumah. Tidak perlu beli yang mahal :) Misalnya span basuh pinggan untuk tekstur kasar, plastik untuk tekstur licin, perca kain dapur untuk tekstur kasar, lilin, duit syiling dan sebagainya.

Jangan lupa pastikan keselamatan barang-barang tersebut untuk kegunaan anak anda.

"Link" di bawah mungkin berguna untuk rujukan bersama ; )

1. Origami rumah
2. Origami haiwan (muka sahaja)
3. Idea kraf / membuat kad tekstur 

Semoga bermanfaat. Wallahualam :)

Isnin, 27 Januari 2014

Buku dan aktiviti 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku :
Only Allah Can Give Us Fruits



Penulis :
Maimunah

Ringkasan cerita :
Menceritakan kehebatan dan kekuasaan Allah dalam mencipta buah-buahan untuk manusia. Adam dan Sara pergi ke kebun Pakcik Yusuf dan merasai keenakan buah-buahan yang ada seperti pisang, manggis, mangga dan betik.

~~~

Pengetahuan sedia ada anak hanya pada buah pisang, mangga dan betik. Dia belum pernah makan manggis. Nampaknya perlu cari bila tiba musimnya ;)

Bagus buku ini kerana memperkenalkan Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan menunjukkan kekuasaan Allah yang menjadikan semua benda. Tiada yang mustahil bagi-Nya. Ilustrasi menarik! Ayat juga mudah difahami.

Aktiviti bersama anak hari ini saya lukiskan gambar buah tetapi dilakar dalam bentuk dot-to-dot supaya dia boleh menyambungnya sendiri. Nampaknya kemahiran menulisnya semakin berkembang kerana dia mampu bertahan untuk aktiviti ini untuk tempoh yang panjang. Saya tuliskan perkataan bahasa inggeris dengan pen hijau dan perkataan bahasa melayu dalam bentuk suku kata menggunakan pen merah dan biru.

Sempat bina 1 sahaja jigsaw puzzle ^_^



Alhamdulillah :)

Jumaat, 24 Januari 2014

Temu santai 3



Bismillah walhamdulillah.

Usrah malam ini terdapat pertambahan dua ahli baru dan tiga orang ahli tidak dapat hadir kerana sakit. Selepas tilawah al-Quran, sesi taaruf secara ringkas, perbincangan terus kepada ulasan buku yang dijanjikan seperti minggu lepas.

Berebut-rebut mahu ulas buku. Masya Allah anak-anak ini :) Hanya 2 orang terpilih kerana keterbatasan waktu.

Dua orang adik yang terpilih mengulas buku Emilda : Catatan Seorang Perindu tulisan Syalina Ahmad terbitan PTS One Sdn Bhd dan Aku Mahu Ke New York 2 tulisan Ain Maisarah juga terbitan PTS.



Sebenarnya saya memberi kebebasan kepada mereka memilih buku untuk diulas kerana ingin melihat minat mereka disamping boleh memberi ruang perbincangan sekiranya ada yang perlu diperkatakan.

Saya puji semua ahli yang memberi tumpuan ketika sesi bedah buku kerana kebiasaannya suasana memang gamat dengan celoteh masing-masing! ^_^



Bagus cara ulasan mereka dan saya tambah serba-sedikit kerana saya pernah membaca kedua-dua buku tersebut. (Malahan boleh dikatakan saya mengikuti hampir kesemua buku yang dihasilkan oleh Syalina Ahmad dan Ain Maisarah. Tujuan saya tidak lain tidak bukan hanya untuk mengetahui kandungan buku dan melihat sisi positif dan negatif kepada pembaca remaja. Mungkin di sinilah saya boleh aplikasikan apa yang telah saya baca selama ini.)

Akhir sekali majlis ditutup dan adik-adik ini diberi "reward" ais krim kerana kebanyakan mereka berjaya membawa 4 perkara wajib usrah (quran tafsir @ quran, buku catatan, alat tulis dan buku zikir pagi petang).

Oh ya, mereka inginkan aktiviti berasaskan mewarna minggu hadapan. Haha.. saya terpana seketika. "Ok, insya Allah." Bersorak semua yang hadir mendengar jawapan saya. Erk..aktiviti mewarna? Tunggu dan lihat. Hehe..

Ahad, 19 Januari 2014

Kuliah Dhuha



Bismillah walhamdulillah.

Hari ini bermulanya kuliah dhuha pertama di rumah mertua saya. Insya Allah akan berlangsung setiap Ahad jam 9.30-10.30 pagi. Kelas ini dirancang beberapa minggu sebelum ini cetusan idea dari ibu mertua sendiri yang ingin menghadiri kelas pengajian namun terbatas kerana kesihatan dirinya yang tidak mengizinkan.

Sementara itu, kuliah dhuha ini sebenarnya bertempat di surau kampung kami namun telah terhenti sementara atas beberapa sebab teknikal. Maka, apabila dicadangkan perkara ini pihak berkenaan mencadangkan agar dibuat di rumah kami.

Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Allah. Kehadiran menggalakkan. Semoga ramai mendapat manfaat daripada usaha ini.

Ya, kita tidak boleh memaksa orang hadir ke majlis ilmu. Hati-hati ini hanya Allah pemegangnya namun kita masih mampu berusaha mengajak mereka membuat perkara kebaikan insya Allah.

Barakallahufikum.


Rabu, 8 Januari 2014

Temu Santai 1


Bismillahirrahmanirrahim.



Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah An-Nur ayat 31)

 Inilah ayat quran pembuka bicara kami dalam temu santai yang pertama.  Lebih tepat lagi usrah pertama pada tahun ini. Alhamdulillah Allah memberi ilham dan kekuatan kepada kami untuk terus istiqamah.

 Kali ini dengan pertambahan ahli baru, sesi dimulakan dengan taaruf, tilawah dan tadabbur al-quran, disusuli perbincangan dan sesi soal jawab. Adik-adik berusia 10 tahun ke atas hadir memeriahkan majlis ilmu malam ini.

 Disebabkan masa yang terhad, kami berbincang secara ringkas apa yang terkandung di dalam ayat itu dan saya dapati majoriti adik-adik ini menemui ilmu baru malam ini terutama hubungan mahram dan bukan mahram. 

 Kebanyakan mereka tinggal dalam keluarga kembangan seperti tinggal di rumah nenek yang didiami oleh ramai sepupu dan saudara-mara lain. Ada di kalangan mereka yang tinggal bersama nenek sementara ibu bapa bekerja di bandar. 

 Mereka terkejut apabila mendapati mereka perlu menutup aurat dengan sepupu mereka. Oh, panjang lebar jadinya malam ini. Maka perbincangan ini akan dilanjutkan pada pertemuan akan datang insya Allah :)

 Ya Allah, ampunkan dosa kami dan tambahilah ilmu dan rezeki kami. Ameen.. :)