Alhamdulillah kerana Allah meminjamkan nyawa dan memberi kesihatan kepada kami untuk bertemu pada kali ini. Waktu usrah ditukar ke siang hari memandangkan kali ini ada projek mini yang ingin dilaksanakan. Sementelahan lagi hari ini cuti umum sempena Tahun Baru Cina. Kesemua adik ini juga bercuti.
Asalnya berjanji 2.30 petang namun hanya seorang menepati waktu. Manakala yang lain tiba pada pukul 3.00 petang. Subhanallah adik-adik ini. Apa lagi, kena dendalah. Minggu depan nak dengar hafazan 10 ayat pertama surah Al-Kahfi ya! :)
Sambung bacaan al-Quran minggu lepas bermula ayat 18 sehingga ayat 36 surah al-Baqarah. Kemudian, terus kepada perbincangan minggu ini iaitu berkisar tentang makanan. Pamplet telah disediakan dan adik-adik ini diberi masa membaca dan mencari isi penting. Saya senaraikan beberapa potong ayat Quran yang berkaitan dengan makanan.
Pamplet
Kami bincangkan dan adik-adik ini sendiri mengeluarkan isi, memberi pendapat dan ada sesi soal jawab. Kami turut menyentuh jenis-jenis hukum di dalam Islam, adab makan, kesan makan makanan haram, hukum membeli makanan daripada orang bukan Islam dan sedikit isu mengucap selamat hari raya kepada rakan bukan Islam ketika mereka menyambut perayaan agama mereka.
Seterusnya, kami beralih kepada projek membuat mini pizza. Adik-adik ini bergerak masuk ke kumpulan masing-masing dan membuat persediaan membuat pizza :) Resipinya telah dilampirkan pada pamplet dan saya juga memberi sedikit taklimat berkenaannya.
Semerbak harum ruang mengaji di rumah ini dengan bau sos dan persiapan pizza mereka ^_^ Subhanallah. Bersemangat sekali mereka ini. Tanpa disangka ramai pula anak-anak lelaki yang turut hadir petang ini namun mereka 'dilarang' masuk ke kawasan kami :)
Sepanjang aktiviti ini, banyak perkara dapat diperhatikan terutama saya lebih mengenal sedikit sebanyak perangai mereka yang selama ini tidak ketara dilihat. Ada yang suka membantu, mulut diam tetapi kaki tangan pantas bekerja, bijak memimpin kumpulan, banyak idea, kreatif, tinggi kerjasama dan kemas.
Tidak kurang juga ada yang mahu membuat semua kerja sendiri, kurang percaya orang lain membuat tugasan (ada pro dan kontra sikap begini :) ), banyak bercakap namun kerja masih dibuat dengan elok dan paling kurang enak ada segelintir yang kurang prihatin dengan rakan lain. (Oh, sesuatu yang harus saya ambil perhatian!)
Alhamdulillah, pukul 3 ke 5.30 petang dapat digunakan sebaiknya. Semoga Allah memberkati adik-adik ini.
Ya Allah, ampunkan dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami, jadikan kami orang yang solat dan mengingati-Mu, jadikan kami perempuan solehah dan pimpinlah kami ke arah kebaikan. Ameeen....
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan